PERUTUSAN KETUA PENGARAH LAUT
Selamat datang ke laman web rasmi Jabatan Laut Malaysia (JLM), gerbang digital kepada perkhidmatan maritim negara yang menghubungkan masyarakat, industri dan rakan strategik antarabangsa dengan maklumat, perkhidmatan serta inisiatif utama sektor maritim Malaysia.
Sebagai agensi peneraju dalam pengawalseliaan dan pembangunan sektor maritim negara, JLM memainkan peranan penting dalam memperkukuh keselamatan pelayaran, kecekapan perkhidmatan perkapalan dan pelabuhan, serta kelestarian persekitaran marin. Peranan ini dilaksanakan selaras dengan aspirasi Malaysia untuk terus muncul sebagai negara maritim yang progresif, berdaya saing dan dihormati di peringkat global.
Dalam mendepani landskap maritim dunia yang semakin kompleks dan dinamik, JLM terus memperkukuh transformasi penyampaian perkhidmatan melalui tadbir urus yang berintegriti, pendigitalan proses kerja serta penggunaan teknologi yang inovatif. Usaha ini mencerminkan komitmen jabatan untuk menyediakan perkhidmatan yang cekap, telus, responsif dan berorientasikan pelanggan.
Laman web rasmi ini berperanan sebagai saluran komunikasi strategik yang menyediakan maklumat berkaitan pentadbiran maritim, keselamatan pelayaran, perkapalan, pelabuhan, perkhidmatan jabatan serta inisiatif pembangunan sektor maritim negara. Maklumat yang dipaparkan akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan ia kekal relevan, tepat dan bermanfaat kepada semua pengunjung.
JLM amat menghargai pandangan, cadangan dan maklum balas daripada pelanggan, komuniti maritim, agensi kerajaan, pemain industri serta rakan kerjasama di peringkat nasional dan antarabangsa. Segala input yang diterima akan menjadi asas penting dalam mempertingkat mutu perkhidmatan serta memperkukuh kedudukan JLM sebagai institusi maritim yang moden, berwibawa dan berpandangan jauh.
Selamat melayari laman web rasmi Jabatan Laut Malaysia.
“Safer Ships, Secure Ports, Cleaner Seas”
YANG BERBAHAGIA DATUK HAJI DICKSON BIN DOLLAH
Ketua Pengarah Laut