[gtranslate]
FAQ Hubungi Kami Maklum Balas Peta Laman

Pengarang: Arin Danish Abdullah

  • MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN, TAKLIMAT PEMANTAPAN TATAKELOLA MENANGANI RASUAH & KETIRISAN DAN IKRAR BEBAS RASUAH JABATAN LAUT MALAYSIA

    MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN, TAKLIMAT PEMANTAPAN TATAKELOLA MENANGANI RASUAH & KETIRISAN DAN IKRAR BEBAS RASUAH JABATAN LAUT MALAYSIA

    PELABUHAN KLANG, 5 Februari 2024 – Majlis Perhimpunan Bulanan, Taklimat Pemantapan Tatakelola Menangani Rasuah & Ketirisan dan Ikrar Bebas Rasuah Jabatan Laut Malaysia telah diadakan di Dewan Auditorium Aras 5, Menara Dius Api, Ibu Pejabat Laut, Jabatan Laut Malaysia (JLM). Majlis tersebut merupakan anjuran Unit Pengurusan Sumber Manusia (UPSM) dengan kerjasama Unit Integriti (UI) Ibu Pejabat Laut.

    Pada Majlis Perhimpunan Bulanan, YBrs. Kapten Mohamad Halim Bin Ahmed, Ketua Pengarah Laut, menggesa warga kerja JLM untuk terus meningkatkan mutu kerja dan memberi perkhidmatan terbaik kepada pemegang taruh selaras dengan hasrat kerajaan. Pada majlis sama, Ketua Pengarah Laut telah menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Unit Pengurusan Kewangan dan Akaun Amanah (UPKAA) dan Kumpulan Wang Pusat Perdagangan Laut (KWPPL) atas Pencapaian 100% Pembayaran Bil dan Tuntutan Dalam Tempoh Tujuh (7) Hari Sepanjang Tahun 2023. Ketua Pengarah Laut turut mengucapkan tahniah atas kejayaan JLM memperolehi Pensijilan Information Security Management System ISO/IEC 27001:2013 (ISMS).

    Usai Majlis Perhimpunan Bulanan, majlis diteruskan dengan Taklimat Pemantapan Tatakelola Menangani Rasuah & Ketirisan yang disampaikan oleh Encik Rosmadi Bin Kasim, Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Selangor.

    Lafaz Ikrar Bebas Rasuah juga telah dizahirkan oleh warga kerja JLM yang diketuai oleh Ketua Pengarah Laut diikuti Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang disaksikan oleh YBhg. Timbalan Pesuruhjaya Dato’ Haji Alias Bin Salim, Pengarah SPRM Negeri Selangor. Lafaz Ikrar dan tandatangan Ikrar Bebas Rasuah ini merupakan bukti warga JLM komited dalam memerangi rasuah.

    Ketua Pengarah Laut dalam ucapan beliau menyeru warga JLM supaya mengambil prinsip amanah dan integriti sebagai paksi utama dalam memenuhi tanggungjawab dengan tadbir urus dan tatakelola yang baik selari dengan citra Malaysia Madani.

    Turut hadir pada majlis ini ialah Pengurusan Tertinggi JLM, Pengarah-Pengarah Bahagian dan Wilayah, Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Dius Api (LDA), dan Ahli Jawatankuasa Kumpulan Wang Pusat Perdagangan Laut (KWPPL) dan seluruh warga kerja JLM.

  • KUNJUNGAN YB TIMBALAN MENTERI PENGANGKUTAN KE MV SABIK JABATAN LAUT MALAYSIA W.P. LABUAN

    KUNJUNGAN YB TIMBALAN MENTERI PENGANGKUTAN KE MV SABIK JABATAN LAUT MALAYSIA W.P. LABUAN

    YB Datuk Haji Hasbi Bin Haji Habibollah, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, telah berkunjung dan menaiki bot katamaran MV Sabik milik Jabatan Laut Malaysia W.P Labuan bersama delegasi Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pengarah JPJ Sarawak. YB Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia bersama delegasi berkesempatan merasai pelayaran bersama MV Sabik bermula dari Terminal Pejabat Laut Limbang untuk melawat kawasan dan meninjau aktiviti penduduk setempat di sungai dan laut serta beberapa projek yang sedang dalam perancangan untuk pembangunan Parlimen Limbang. YB Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia dan delegasi turut dibawa melawat pelampung pandu dibawah seliaan Lembaga Boya dan Api Sarawak.

    Turut hadir mengiringi YB Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia dan delegasi ialah En. Mohd Hisham Bin Rubani, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Operasi Maritim, Ibu Pejabat Laut, En. Ahmad Zawawi Bin Saharuddin, Timbalan Pengarah Jabatan Laut Malaysia W.P. Labuan, En. Syahrizan Bin Jili, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sarawak Timur, serta pegawai Jabatan Laut Malaysia.

    Terlebih dahulu Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sarawak, Bahagian Timur, Limbang bersama Jabatan Laut Malaysia W.P. Labuan telah melaksanakan operasi bersama bagi Kempen Keselamatan Bot dan Feri Penumpang di perairan Limbang untuk memastikan pemilik lesen bot dan feri penumpang mematuhi peraturan dan keperluan keselamatan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Laut Malaysia.

  • PROGRAM WALK WITH KETUA PENGARAH LAUT

    PROGRAM WALK WITH KETUA PENGARAH LAUT

    PELABUHAN KLANG, 1 Februari 2024 – Unit Pengurusan Sumber Manusia (UPSM), Ibu Pejabat Laut dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan Ibu Pejabat Laut (KSKIPL) telah menganjurkan Program Walk with Ketua Pengarah Laut.

    Program ini merupakan salah satu aspirasi daripada YBrs. Kapten Mohamad Halim Bin Ahmed, Ketua Pengarah Laut, Jabatan Laut Malaysia selaras dengan Teras 1 Agenda Nasional Malaysia Sihat untuk mempromosi pembudayaan hidup sihat secara bersepadu dan meluas demi kesejahteraan mental dan fizikal warga kerja Ibu Pejabat Laut.

    Ketua Pengarah Laut turut mengambil bahagian dalam aktiviti berjalan kaki ini sejauh 1 kilometer. Menurut beliau, program ini dianjurkan bagi menggalakkan warga kerja Jabatan Laut Malaysia khususnya golongan yang kurang aktif dalam melakukan aktiviti fizikal untuk menjadi lebih cergas, bagi menjamin kesihatan mental dan fizikal yang baik.

  • KOMITMEN MALAYSIA DALAM IMO 10TH SESSION OF THE SUB-COMMITTEE ON SHIP DESIGN AND CONSTRUCTION (SDC 10)

    KOMITMEN MALAYSIA DALAM IMO 10TH SESSION OF THE SUB-COMMITTEE ON SHIP DESIGN AND CONSTRUCTION (SDC 10)

    Malaysia menunjukkan komitmen yang kukuh terhadap kemajuan piawaian maritim dengan menyertai secara aktif di Mesyuarat SDC10 yang secara khususnya membincangkan perkara-perkara mengenai Reka Bentuk dan Pembinaan Kapal. Malaysia telah diwakili oleh En Mohd Fairoz Bin Rozali, En Izzat Baihaqi Bin Abu Bakar, En Mohamad Najdi Naim Mohd Tarmizi dan Kdr. Ir. Dr. Arman Bin Ariffin TLDM.

    Kehadiran Malaysia di dalam SDC10 pada kali menunjukkan kesungguhan negara dalam meningkatkan kemajuan khususnya dalam aspek teknikal industri maritim. Antara perkara yang dibincangkan semasa mesyuarat kali ini adalah perkara berkatian reka bentuk kapal, pembinaan, kestabilan, keselamata dan proses ujian serta kelulusan pembinaan kapal sejajar dengan visi strategik Malaysia untuk meningkatkan keupayaan maritim di peringkat global. Dengan penyertaan aktif dalam SDC 10, Malaysia berhasrat untuk menyumbang kepada formulasi piawaian antarabangsa, pertukaran pengetahuan, dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pemangkin bertanggungjawab dan berpengetahuan dalam sektor maritim.

    Penyertaan ini tidak hanya mencerminkan komitmen Malaysia untuk kekal di barisan hadapan dalam kemajuan reka bentuk dan pembinaan kapal, malah menegaskan tekad negara untuk berkolaborasi di peringkat antarabangsa.

Warga JLM

Warga Awam

Langgan